Persatuan Anak Jati Lawas Agih 86 Bantuan Bakul Makanan

AHAD, 18 JULAI 2021

KUCHING: Seramai 56 Ketua Isi Rumah (KIR) dan 30 pelajar telah menerima bantuan bakul makanan dari Persatuan Anak JATI Lawas Cawangan Kuching.

Simbolik penyerahan bantuan tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Yayasan Budaya Melayu Sarawak pada Ahad.

Menurut beliau, sumbangan tersebut adalah bagi membantu anak Jati Lawas yang berada di kawasan Kuching semasa pandemik COVID-19 dan dalam masa yang sama juga menjaga kebajikan sosial ahli-ahli Anak Jati Lawas.

“Ini akan melibatkan 56 ketua isi keluarga dan 30 pelajar dan bantuan akan dipanjangkan untuk perubatan bagi anak Jati Lawas yang berada di rumah sakit.

“Inilah sedikit sebanyak usaha Persatuan Anak Jati Lawas dalam menjaga kebajikan sosial dan kepentingan ahli-ahli,” ujarnya.

Tambah Datuk Amar Awang Tengah yang juga Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II dan Menteri Pembangunan Perindustrian Sarawak, Persatuan Anak Jati Lawas adalah salah satu saluran anak-anak lawas yang berada di Kuching sama ada belajar atau bekerja bagi menghubungkan persaudaraan masyarakat di sini.

Dalam pada itu, beliau berterima kasih kepada persatuan tersebut kerana telah membantu dalam pengagihan sumbangan bantuan.-EDISI UKAS

Share
0

add comment