Program Kolaborasi Sentuhan Kasih JBPM Zon 6 Miri Dan NSJA Dapat Sambutan Daripada Syarikat Tempatan

AHAD, 18 JULAI 2021

MIRI: Program Kolaborasi Sentuhan Kasih Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 6 Miri dan Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) mendapat sambutan menggalakkan daripada beberapa syarikat tempatan. 

Dalam kenyataan media NSJA pada Sabtu, beberapa syarikat seperti Tong Seng Huat Rice Trading Sdn Bhd, Tong Seng Huat Sdn Bhd, Emart Group of Companies, Syazwan Bakery Station dan The Twin Brother Patisserie telah memberikan sumbangan masing-masing.

Sementara itu, Ketua JBPM Zon 6 Miri PgKB 1 Law Poh Kiong ketika ditemui berkata, Program Sentuhan Kasih Bomba Zon 6 dan NSJA akan dilaksanakan pada 19 Julai Jam 10.00 pagi di Balai Bomba Lopeng.

“Kita akan membahagikan kepada 10 kumpulan, termasuk kumpulan dari Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) dan Persatuan Kebajikan Komuniti Berjasa Miri (PerKKOMB) untuk mengagihkan bakul makanan kepada penerima yang dikenal pasti dari rumah ke rumah yang ada dalam senarai,” katanya. 

Law Poh Kiong menambah, sejumlah 240 bakul makanan akan diagihkan kepada penerima yang terjejas akibat semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasan Miri, Batu Niah dan Marudi.

4 balai Bomba dari JBPM Zon 6 Miri Sarawak, iaitu Balai Bomba Miri Central, Balai Bomba Lopeng, Balai Bomba Marudi, Balai Bomba Batu Niah juga akan turut terlibat bersama dalam menjayakan Program Kolaborasi Sentuhan Kasih.

PgKB 1 Law Poh Kiong juga berterima kasih kepada semua penaja yang sudi memberikan sumbangan untuk menjayakan program ini.

Hadir sama Pengerusi NSJA Andy Jong Wan Joon. -EDISI UKAS