Program Vaksinasi Bergerak Selalo Dapat Sambutan Menggalakkan

AHAD, 18 JULAI 2021

SIBU: Seramai 540 individu telah divaksinasi dos pertama setakat hari kedua pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak Selalo, pada Sabtu.

Menurut Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Senator Robert Lau Hui Yew, kebiasaannya PPV Bergerak dilakukan selama tiga hari, namun pada kali ini hanya dilakukan selama dua hari, memandangkan hampir 70 peratus penduduk di kawasan tersebut telah divaksin. 

“Dalam perancangan sepatutnya dilaksanakan selama tiga hari di kawasan ini, namun setelah pemantauan dibuat di setiap rumah ke rumah, didapati banyak penduduk sudah disuntik,” katanya semasa ditemubual media.

Tambah beliau, bagi mempercepatkan proses vaksinasi, pihaknya juga telah pergi ke setiap kawasan rumah, lorong termasuk di kilang-kilang di kawasan itu untuk memastikan setiap penduduk menerima vaksin COVID-19.

“Kami pergi ke setiap jalan, lorong dan rumah bermula Isnin sehingga Rabu sebelum ini dan bantu mereka daftar sekiranya ada yang belum mendaftar,” tambahnya.

PPV Bergerak ini dilaksanakan di hadapan Selalo Cafe, menggunakan perkhidmatan sebuah bas dari University College of Technology Sarawak (UCTS).

Keseluruhan proses berjalan dengan lancar dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP). -EDISI UKAS

Share
0

add comment