UKAS Santuni Golongan Asnaf Di DUN Bukit Kota

AHAD, 18 JULAI 2021

LIMBANG: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) telah menyantuni 50 orang penduduk di lima buah kampung di Jalan Pandaruan dalam Program Ziarah UKAS yang diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kota pada Ahad.

Antara kampung yang terlibat ialah Kampung Tuna, Gumaya, Benuas, Kampung Sayung, Kampung Sembiling, Kampung Tabahan dan Kampung Pahlawan.

Simbolik penyampaian bakul makanan di lima buah kampung terlibat telah disempurnakan Pemanca Abu Bakar Tinggal.

Mereka yang menerima bantuan makanan ini terdiri daripada golongan asnaf seperti ibu tunggal, warga emas dan golongan kelainan upaya. 

Objektif program adalah untuk menyantuni penduduk kampung yang terkesan akibat pandemik COVID-19 dengan penerima dipilih berdasarkan senarai nama yang dinilai layak oleh setiap Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) terlibat. 

Selain itu, mereka yang tidak tersenarai menerima bantuan bakul makanan dalam pakej Perlindugan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) akan menerima bantuan ini. 

Bagi setiap Pengerusi JKKK yang mewakili penerima menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada UKAS dan Kerajaan Sarawak di atas keprihatinan dalam memberikan sumbangan bakul makanan berupa keperluan harian dan keperluan perubatan kepada penduduk kampung yang terkesan disebabkan kesan pandemik COVID-19. 

Turut sama hadir Penghulu Latip Tujoh, Ketua Kampung Tuna Ismail Nayan, Ketua Kampung Sayung Yaman Mumin, Ketua Kampung Sembiling Sulaiman Adi, Ketua Kampung Tabahan Isah Tinggal dan Ketua Kampung Pahlawan Osan @ Husein Burut. -EDISI UKAS

Share
0

add comment