700 Bakul Makanan Diedarkan Di Zon Semaran & Zon Ladang Samarahan

ISNIN, 19 JULAI 2021

KOTA SAMARAHAN: Sebanyak 700 bakul makanan berjaya diedarkan kepada penduduk-penduduk yang terjejas di Zon Semaran dan juga Zon Ladang Samarahan pada Ahad.

Proses pengagihan dibantu dengan menggunakan khidmat bantuan pasukan petugas bomba dan penyelamat ke lebih 30 buah kawasan di kedua-dua zon tersebut.

Salah seorang wakil penduduk, Ngaliman Darsono yang juga merupakan Ketua Kampung Kampung Menaul, Serian ketika ditemui menzahirkan penghargaan kepada Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang kerana mengambil berat dan prihatin terhadap kebajikan penduduk di kawasan itu.

Katanya lagi, bantuan seumpamanya bukan kali pertama diberikan oleh Ahli Parlimen Kota Samarahan malah sebelum ini hampir setiap minggu beliau menghantar bantuan bekalan makanan khususnya kepada penduduk yang terjejas atau yang menjalani perintah kuarantin di rumah masing-masing kerana disyaki menjadi kontak rapat kepada pesakit positif COVID-19.

Pengagihan itu merupakan sebahagian daripada 3,000 bakul makanan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) dan tambahan sebanyak 2,000 bakul makanan disediakan oleh Ahli Parlimen Kota Samarahan dengan menggunakan dana daripada pusat khidmatnya sendiri. -EDISI UKAS

Share
0

add comment