Bantuan Makanan PEMULIH Untuk Penduduk Parlimen Hulu Rajang Diteruskan

ISNIN, 19 JULAI 2021

BELAGA : Penyerahan bantuan bekalan makanan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong diteruskan di Uma Baha Sang Anau dan Uma Kulit Long Jawe’, baru-baru ini.

Sebanyak 113 pek bekalan makanan diagihkan kepada dua buah penempatan di hulu Tasik Bakun iaitu Sang Anau yang melibatkan 58 ketua isi rumah (KIR) dan Long Jawe (55 KIR).

Beliau turut menyampaikan cek peruntukan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sang Anau berjumlah RM6,000 dan JKKK Long Jawe menerima cek RM6,000.

Biro Wanita Long Jawe juga mendapat peruntukan sebanyak RM3,000.

Terdahulu, Datuk Wilson Ugak menyampaikan bantuan yang sama kepada beberapa penempatan di kawasan Tasik Baku (Ulu Balui).

Bantuan tersebut dibawa menggunakan lori dari Pekan Belaga ke Pengkalan Bakun selain menggunakan pengangkutan sungai.

Bantuan melibatkan lima buah penempatan di hulu Tasik Bakun iaitu di Long Benalui (6 KIR), Uma Balui Luvuei Naha Jalei (28 KIR), Uma Lesong Naha Nyabong (18 KIR), Uma Lesong Sungai Keling (24 KIR) dan Uma Bato Bagi Long Kebuho (28 KIR). 

Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan cek bantuan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Uma Bato Bagi Long Kebuho berjumlah RM6,000, Uma Lesong Naha Nyabong (RM5,000), Uma Lesong Sungai Keling (RM6,000), JK RANDO Belaga (RM10,000), Persatuan Bolasepak Bahagian Kapit (RM15,000) Jawatakuasa Pendidikan Belaga (RM10,000) dan Jawatankuasa Kebajikan Belaga (RM10,000).

Biro Wanita Uma Bato bagi Long Kebuho turut menerima peruntukan sebanyak RM3,000 dan Biro Wanita Uma Lesong Naha Nyabong (RM3,000).

Kesempatan pada program tersebut turut digunakan Datuk Wilson Ugak menyeru penduduk Belaga yang berumur 18 tahun ke atas supaya tidak takut untuk mengambil vaksin COVID-19 demi keselamatan diri, keluarga dan komuniti.

Ujarnya, vaksin tersebut mampu menguatkan sistem antibodi dan boleh mengurangkan jangkitan COVID-19.

Ketua kaum dan penduduk menzahirkan ucapan terima kasih khasnya kepada kerajaan persekutuan atas keperihatinan membantu mengurangkan beban rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19.-EDISI UKAS

Share
0

add comment