Belajar Dari Pengalaman Untuk Elak Penularan Semula Covid-19: Dato Sri Fatimah

ISNIN, 19 JULAI 2021

KUCHING: Masyarakat perlu belajar dari pengalaman sebelumnya di mana kegagalan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri dan perayaan Gawai menyebabkan peningkatan kes positif Covid-19.

Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah pematuhan terhadap SOP sangat penting dalam tempoh kita berdepan dengan Covid-19.

“Kita di Sarawak masih berada dalam Program Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2.

“Mari laksanakan tanggungjawab kita dengan konsisten untuk mencapai PPN fasa seterusnya iaitu Fasa 3.

“Seterusnya, sama berganding bahu dalam membantu Program Vaksinasi untuk mencapai imuniti kelompok atau dikenali ‘herd imunity’ pada akhir bulan Ogos,” katanya dalam perutusan Hari Raya Aidiladha pada Isnin.

Jelas ADUN Dalat itu lagi, para wanita yang sering menjadi penganjur utama acara sosial keluarga dapat terus memainkan peranan dengan memimpin dalam merayakan perhimpunan Hari Raya Aidiladha secara maya.

Katanya, manfaatkan penggunaan pelbagai media sosial untuk menyampaikan ucapan Hari Raya Aidiladha kepada orang yang tersayang, ahli keluarga di perantauan, saudara-mara serta jiran-jiran.

Tambah beliau, sambutan Hari Raya Aidiladha adalah bagi mengenang pengorbanan Nabi Ibrahim dan puteranya Nabi Ismail.

Justeru tegasnya, meraikan Hari Raya Aidiladha semasa pandemik Covid-19 memerlukan masyarakat untuk ‘berkorban’ meraikan norma perayaan lama dan menerapkan norma baru seperti yang ditetapkan dalam SOP. – EDISI UKAS

Share
0

add comment