Dato Sri Fatimah Lawat Program Vaksinasi Pusat Desa Bina Diri Kuching

ISNIN, 19 JULAI 2021

KOTA SAMARAHAN : Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah mengadakan lawatan ke Program Vaksinasi Pusat Desa Bina Diri Kuching, pada Isnin.

Menurut Dato Sri Fatimah, program yang bermula pada jam 11:00 pagi itu telah memvaksinasikan seramai lima orang daripada 28 penghuni di pusat tersebut, dengan kekuatan lapan orang petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Untuk makluman, Desa Bina Diri Kuching adalah salah satu institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat yang menempatkan orang papa atau pengemis untuk mendapatkan jagaan, perlindungan dan pemulihan.

Dalam pada itu, Dato Sri Fatimah turut memaklumkan Kementerian Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) akan mengadakan Program Operasi Vaksinasi Gelandangan di Sarawak yang dilaksanakan di sembilan buah bahagian, pada 8 Ogos 2021.

Namun jelasnya, sebelum program operasi tersebut bermula, pihak KWKPK bersama agensi berkaitan mengadakan satu Operasi Cerapan Gelandangan terlebih dahulu bagi mengesan serta mendapatkan profil gelandangan disamping menguruskan keperluan vaksinasi, yang mana telah bermula pada 18 Julai 2021.

“Individu yang layak untuk vaksinasi akan di vaksinasi tidak kira siapa mereka, tidak kira OKU, tidak kira sama ada mereka warga emas ke, ada terlantar dirumah tidak dapat keluar daripada rumah,dirumah panjang dan termasuklah kumpulan gelandangan jadi mereka tidak terkecuali,” katanya selepas meninjau program vaksinasi berkenaan.

Turut hadir, Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti,Datuk Francis Harden Hollis, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak,Noriah Ahmad serta Penguasa Desa Bina Diri Kuching, Tiong  Kunyok.-EDISI UKAS

Share
0

add comment