Hospital Miri Mengalu-alukan Masyarakat Tampil Menderma Darah

ISNIN, 19 JULAI 2021

MIRI: Hospital Miri mengalu-alukan golongan masyarakat di Bahagian Miri tampil dan menderma darah.

Pakar Perubatan Transfusi Hospital Miri Dr. Norkhazarina Omar berkata, ini membolehkan bekalan darah sentiasa stabil dan mencukupi untuk keperluan pesakit. 

“Kami harap masyarakat kita akan tampil menderma darah, supaya memastikan bekalan darah mencukupi untuk keperluan gologan masyarakat yang perlu.

“Walaupun kita mempunyai bekalan darah dalam keadaan yang memuaskan, tetapi kami harap setiap hari ada penderma darah sudi tampil di Tabung Darah Hospital Miri untuk menderma darah,” katanya dalam satu kenyataan media selepas menerima sumbangan makanan dan minuman daripada Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) pada Sabtu. 

Sementara itu, Presiden NSJA Andy Jong Wan Joon berkata, NSJA akan tampil menghulurkan bantuan sebagai tanggungjawab sosialnya menerusi Kempen Derma Darah kepada Tabung Darah Hospital Miri bagi menampung kekurangan dan keperluan tabung darah Hospital sebagai aktiviti tahunan.

“Darah tak pernah cuti, peranan petugas barisan hadapan di Tabung Darah Hospital Miri setiasa berusaha berkhidmat demi masyarakat tanpa weekend atau hari cuti.

Walaupun hujung minggu atau hari cuti, petugas barisan hadapan di Tabung Darah Hospital Miri tetap perlu bertugas atau terlibat dalam program derma darah mobile, untuk memastikan bekalan darah setiasa di tahap mencukupi,” ujarnya.

NSJA melalui Aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) “Program Prihatin Kasih” membekalkan pek minuman dan makanan bertujuan bagi menghargai pengorbanan dan jasa kumpulan petugas barisan hadapan ini.

Andy Jong turut memberitahu dalam usaha kita untuk memerangi pandemik COVID-19, program derma darah masih perlu diteruskan kerana darah tak pernah cuti, diperlukan untuk setiap hari.

“Oleh demikian, Tabung Darah Hospital Miri mengalu-alukan kedatangan penderma darah untuk menderma darah tanpa mengabaikan SOP yang telah ditetapkan dalam norma baharu,” ujarnya lagi. 

Dalam tiga tahun ini, NSJA telah menganjurkan 5 kali kempen derma darah, dengan jumlah pendaftaran penderma seramai 574 orang, antara 453 penderma darah berjaya menderma darah. -EDISI UKAS

Share
0

add comment