KKM Laksana ‘Mopping Up’ Kenal Pasti Penduduk Kampung Jepak Belum Terima Vaksin COVID-19

ISNIN, 19 JULAI 2021

BINTULU: Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan ‘Mopping Up’ di Kampung Jepak dalam masa terdekat ini. 

Pegawai Kesihatan Bintulu Dr Melvin Chung berkata, ianya bertujuan membuat survey dan banci untuk mengetahui sama ada mereka sudah divaksin ataupun belum.

“Kita akan memanggil mereka datang ke Dewan Arena Petanque Kampung Jepak untuk divaksin sekiranya mereka belum lagi menerima suntikan vaksin COVID-19.

“Pelaksanaan kaedah ‘walk in’ akan membolehkan mereka yang belum datang dan terus menerima suntikan vaksin serta daftar kemudian.

“Bagi mereka yang tidak sempat datang ke dewan ini, mereka boleh juga datang terus ke Klinik Kesihatan Jepak,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas meninjau Program Outreach Vaksinasi Bahagian Bintulu di Dewan Arena Petanque Kampung Jepak baru-baru ini. 

Pada program itu, seramai 131 orang penduduk telah diberikan suntikan vaksin dos kedua.

Mengulas lanjut mengenai vaksinasi gelandangan, Dr Melvin memberitahu pihaknya telah bekerjasama dengan penduduk kampung dalam membantu proses vaksinasi golongan gelandangan.

“Kita telah menemu bual golongan gelandangan untuk mendapatkan vaksinasi dan bekerjasama dengan penduduk kampung bagi membantu proses vaksinasi gelandangan,” ujarnya.

Sekarang ini hanya Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Sukan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) sahaja yang mempunyai ‘walk in’ vaksin.

Bagaimanapun, selepas mesyuarat bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Khamis, semua PPV akan menyediakan ‘walk in’ mengikut kapasiti yang ditetapkan. -EDISI UKAS

Share
0

add comment