Operasi Bersepadu Pemantauan Gelandangan Daerah Miri,13 Gelandangan Dikenal Pasti Belum Mendapat Vaksin COVID-19

ISNIN, 19 JULAI 2021

MIRI: Beberapa jabatan dan agensi kerajaan yang diketuai Pemangku Residen Miri yang juga Pemangku Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Jamalie Busri telah mengadakan Operasi Bersepadu Pemantauan Gelandangan Daerah Miri pada Ahad. 

Turut sama menyertai operasi itu ialah Menteri Bertanggungjawab JPBB Miri yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin bersama Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Supt. Mohd Sabri Zainal, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Miri Pengiran Mohamad Najib dan Pegawai Jabatan Sukarelawan Miri (RELA) Daerah Miri Mohamad Afizi Salam. 

Operasi yang bermula jam 8.30 malam dan berakhir jam 1.00 pagi itu bertujuan memantau dan mengenal pasti jumlah gelandangan yang ada di sekitar Miri dan memastikan mereka mendapat suntikan vaksin COVID-19.

Hasil pemantauan didapati 13 orang gelandangan masih belum mendapat suntikan vaksin dan tindakan susulan segera akan dilakukan bagi memastikan mereka ini tidak terlepas dalam menerima vaksin COVID-19. 

Antara jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat ialah Pejabat Residen Bahagian Miri, Pejabat Daerah Miri, JKM Bahagian Miri, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Pasukan Penguatkuasa Majlis Bandaraya Miri, RELA Miri dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS). 

Operasi yang berakhir awal pagi itu berjaya mencapai matlamatnya dan dilaksanakan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan kerajaan. -EDISI UKAS

Share
0

add comment