Peruntukan E-Khas RM50,000 Bina Rumah Baharu OKU Di Kampung Tanam Seberang, Dalat

ISNIN, 19 JULAI 2021

DALAT: Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah turun padang bagi meninjau projek membina rumah baharu seorang lelaki orang kurang upaya (OKU), Philip Kalum di Kampung Tanah Seberang, Dalat baru-baru ini.

Jelasnya, pembinaan rumah tersebut merupakan peruntukan daripada e-khas Perdana Menteri berjumlah RM50,000 yang merangkumi pembinaan titi belian dan kelengkapan di dalam rumah.

“Projek ini adalah berkat kesungguhan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tanah Seberang membantu membina rumah tersebut secara bergotong-royong,” katanya.

Kemudian, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat itu menyerahkan surat kelulusan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Fasa 2 Tahun 2021 kepada JKKK Kampung Tanam Seberang.

Selain itu, beliau turut melakukan penyerahan Projek Penyambungan Titi Belian di Hilir Kampung Tanam Seberang sepanjang 230 meter yang bernilai RM145,000.

“Projek tersebut dibina bagi memudahkan penduduk dan pelajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Balan dan SK tanam yang sebelum ini bergantung kepada laluan sungai termasuk pergi ke sekolah,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau meninjau tapak projek pembinaan jalan raya sepanjang 2.5 kilometer untuk menghubungkan Kampung Seberang Dalat, Kampung Balan Seberang dan Kampung Tanam Seberang, Dalat. –EDISI UKAS

Share
0

add comment