Program Pemberian Vaksin Bergerak Mudahkan Rakyat, Percepat Usaha Capai Imuniti Kelompok

ISNIN, 19 JULAI 2021

DARO: Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) komited dalam melindungi rakyat dari pandemik Covid-19 melalui pelaksanaan pelbagai kaedah imunisasi termasuk program pemberian vaksin secara bergerak.

Menurut Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, proses pemberian vaksin di negeri ini juga perlu disegerakan agar sasaran untuk mewujudkan imuniti kelompok dapat dicapai pada Ogos depan.

Menjelas kepada UKAS semasa meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Outreach Nanga Semah, Daro pada Isnin, beliau berkata capaian imuniti kelompok perlu bagi melindungi masyarakat susulan kewujudan varian baru Covid-19 yang mempunyai kadar mutasi lebih pantas.

“Ini yang penting dilakukan oleh kita semua untuk memastikan bahwa objektif mencapai imuniti kelompok ini dapat disegerakan dan tercapai menjelang Ogos nanti.

“PPV yang diadakan di Nanga Semah ini adalah satu cara Kerajaan dan KKM memastikan matlamat mencapai imuniti kelompok dpat dicapai kerana sekarang ini ada varian baru seperti delta, beta, theta dan sebagainya yang sudah ada dalam komuniti.

“Varian baru in sangat berbahaya di mana kadar mutasinya sangat cepat,” jelasnya.

Katanya lagi, pengwujudkan PPV di Nanga Semah itu bertujuan memudahkan penduduk dari penempatan terpencil itu menerima suntikan vaksin.

Pada masa sama jelasnya, dengan membawa PPV berkenaan di kawasan itu diharap akan mencetus motivasi dalam kalangan penduduk yang masih ragu-ragu untuk menerima vaksin.

Seramai 382 penduduk menerima vaksin di PPV Nanga Semah yang diadakan di Dewan Seberguna Nanga Semah dan Klinik Kesihatan Nanga Semah.

Dalam program sama, Ahmad Johnie turut menyerahkan cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM50,000 kepada Jawatankuasa Bencana Daerah Daro dan RM5,000 kepada Jawatankuasa Panel Klinik Nanga Semah.

Sementara itu, Ahmad Johnie mendedahkan sebanyak 3,000 Bantuan Bakul Makanan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) mula diagihkan kepada penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Daro dan Jemoreng.

Menurutnya, setiap DUN akan menerima sebanyak 1500 bakul makanan dengan agihan akan mengambil masa selama dua minggu untuk disiapkan bermula pada Ahad lepas. 

Katanya, Pusat khidmat Parlimen Igan dan dengan bantuan Pejabat Daerah akan memastikan bantuan makanan tersebut disalurkan dengan segera mengikut senarai-senarai yang telah disediakan oleh ketua-ketua masyarakat masing-masing. – EDISI UKAS

Share
0

add comment