ISNIN, 19 JULAI 2021
SIBU: Program vaksinasi bas bergerak mencapai objektifnya sebagai kaedah berkesan untuk memberikan suntikan vaksin kepada masyarakat pelbagai lapisan di Sibu tanpa mengira lokaliti.
Menurut Pengerusi SUPP Cawangan Bawang Assan, Senator Robert Lau Hui Yew, program vaksinasi bas bergerak juga amat memudahkan penduduk yang berdepan kekangan masa dan pengangkutan untuk mendapat vaksin di kawasan bandar.
Beliau menjelas demikian semasa meninjau program vaksinasi bergerak di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Rantau Panjang pada Ahad.
Katanya, sekitar 300 penduduk dari rumah panjang dan kawasan rumah flat berhampiran disasarkan untuk menerima suntkan vaksin pada program berkenaan.
“Apa yang penting kita mahu semua orang disuntik, diberi peluang. Mereka tidak dapat untuk ke bandar kerana ada yang baru balik kerja dan kekangan lain. Ini petanda bagus kerana lebih 200 yang datang pagi ini.
“Jika dos vaksin tidak mencukupi, kita akan laksanakan program sama pada satu tarikh yang lain selepas ini,” katanya kepada media.
Pada sebelah petang, Robert menyertai program vaksinasi bas bergerak itu ke Kem Belia, Kemuyang untuk memvaksinasi penduduk rumah panjang dan kawasan perumahan berhampiran yang belum menerima vaksin.
Seperti di Rantau Panjang, proses pemberian vaksin di situ juga dilaksanakan secara ‘walk-in’ dan ia mendapat sambutan menggalakkan dari penduduk setempat.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Ketua Kampung dan Tuai Rumah di kawasan tersebut atas kerjasama menyeru orang ramai untuk datang menerima vaksin.
Sementara itu, beberapa penerima dari kawasan flat perumahan di Rantau Panjang menyambut baik program vaksinasi bas bergerak itu sambil berkata ia sangat baik dan memudahkan penduduk di kawasan pedalaman untuk mendapatkan suntikan vaksin. – EDISI UKAS