Projek Jambatan Bailey Sungai Adis Soli Kampung Segong Siap Sepenuhnya

ISNIN, 19 JULAI 2021

BAU: Projek pembinaan Jambatan Bailey Sungai Adis Soli yang terletak di Kampung Segong telah siap sepenuhnya dan kini dibuka untuk kegunaan umum.

Jambatan sepanjang 33.5 meter dengan had muatan tiga tan itu mula dibina pada 24 November 2020 dan siap pembinaannya pada 1 Julai 2021.

Sehubungan itu, program penyerahan projek siap jambatan tersebut telah dilakukan oleh kontraktor kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Bau pada Isnin.

JKR Bau selaku agensi pelaksana projek berkenaan telah mendapat kelulusan peruntukan sejumlah RM311,200 untuk projek itu di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep berpuas hati dengan projek tersebut yang siap dibina sekaligus memberi manfaat kepada penduduk setempat.

Ketua Kaum Kampung Segong, Amy Munga pula memberitahu, dengan siapnya jambatan tersebut ia akan memudahkan penduduk untuk berulang-alik ke kawasan tanah Pi’muung Singai bagi melakukan aktiviti pertanian.

“Implikasi daripada keperluan mendesak bagi jalan penghubung ke kawasan ini, kerajaan negeri menerusi usaha wakil rakyat kami telah merealisasikan projek pembinaan sebuah jambatan Bailey di sini.

“Masalah banjir dan air deras semasa hujan lebat sebelum ini tidak akan lagi dihadapi oleh penduduk yang hendak ke seberang sungai berkenaan,” katanya.

Turut hadir Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Bau Eddy Nayoi, Pegawai Penguasa Projek JKR Kuching Sharil Matnor, Jurutera Daerah Bau JKR Kuching Sandra Jujane, Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Bau Paul Kenny dan penduduk kampung Segong. -EDISI UKAS

Share
0

add comment