10 Tan Daging Lembu Diagihkan Kepada Hampir 5000 KIR Di Jemoreng

SELASA, 20 JULAI 2021

MATU: Sebanyak 10 tan daging lembu diagihkan kepada hampir 5,000 Ketua Isi Rumah (KIR) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jemoreng sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Dato’ Murshid Diraja Dr Juanda Jaya, setiap KIR tanpa mengira bangsa mahupun agama di kawasan itu menerima sebanyak dua kilogram daging.

Program tahunan itu adalah yang kelima dianjurkan beliau sejak menjadi wakil rakyat di kawasan itu dengan jumlah keseluruhan daging yang telah diagihkan kira-kira 50 tan dengan nilai keseluruhan melebihi RM1 juta.

“Program agihan daging sempena Hari Raya Aidiladha hari ini adalah program kelima yang kita adakan. Kali ini sekali lagi kita menempah 10 tan daging untuk diagihkan kepada hampir 5000 KIR di mana setiap KIR akan mendapat dua kilogram.

“Agihan kepada semua penduduk tidak mengira bangsa dan agama sebagai tanda kita menghargai antara satu sama lain sempena meraikan Hari Raya Korban. Kita juga tahu ramai penduduk tidak dapat pergi ke bandar akibat PKP susulan pandemik Covid-19.

“Sebab kita tahu di kampung ramai orang tua dan OKU yang tidak mampu untuk bergerak akibat PKP. Jadi kita berharap dengan agihan ini dapat membantu sedikit sebanyak beban pada masa ini,” jelasnya kepada UKAS semasa mengagihkan sumbangan itu di tapak letak kereta Masjid Daerah Matu pada Selasa.

Jelasnya, program kebajikan di kawasan itu akan berterusan bagi memastikan penduduk kampung yang memerlukan sentiasa mendapat bantuan.

Di samping itu, beliau berharap semangat kerjasama dan bergotong-royong di peringkat akar umbi dapat diwujudkan di mana JKKK sama-sama mengagihkan sumbangan di peringkat kampung masing-masing.

Sementara itu, rata-rata penerima yang ditemui UKAS mengucapkan terima kasih kepada Dato Dr Juanda di atas sumbangan daging lembu tersebut.

Mereka juga bersyukur atas keprihatinan Dato Dr Juanda terhadap kebajikan rakyat di kawasan DUN tersebut. – EDISI UKAS

Share
0

add comment