240 Keluarga Terima Bantuan Bakul Makanan Program Kolaborasi Sentuhan Kasih JBPM Zon 6 Miri Dan NSJA

SELASA, 20 JULAI 2021

MIRI: Seramai 240 keluarga telah menerima bakul makanan sempena Program Kolaborasi Sentuhan Kasih JBPM Zon 6 Miri Sarawak bersama Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) di Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng, Zon 6 Miri Sarawak pada Isnin. 

Menurut Ketua Zon 6 Penguasa Bomba Kanan 1 Law Poh Kiong, program ini merupakan anjuran bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Miri dan Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) bagi menyampaikan bantuan bakul makanan kepada keluarga yang terjejas di sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ini merupakan program yang kedua diadakan dalam bulan ini, dengan program pertama telah mendapat sumbangan daripada Miri Fishery Association, Chop Kiat Siang dan Persatuan Kebajikan Komuniti Berjasa Miri (PerKKOMB) dengan menyantuni 80 keluarga.

“Di samping menjalankan tugasan memandam api dan menyelamat, kita bomba juga menjalankan Program Kolaborasi Sentuhan Kasih bagi membantu masyarakat sekitar Miri yang terkesan akibat daripada COVID-19.

“Ini kerana kami dapat merasai kesusahan yang dialami oleh masyarakat ketika ini,” katanya semasa ditemui selepas menyerahkan bantuan bakul makanan kepada penerima. 

Senarai penerima bakul makanan ini diperolehi menerusi Persatuan Ibu Tunggal, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Tabung Baitulmal Sarawak (TBS), Persatuan Kebajikan Komuniti Berjasa Miri (PerKKOMB) dan sanak saudara kakitangan Bomba Miri.

Penerima bakul makanan terdiri daripada golongan miskin, balu, ibu tunggal, OKU, warga emas, kehilangan kerja dan golongan lain di kawasan Miri, Batu Niah dan Marudi.

Antara tempat yang dikenal pasti ialah kawasan Senadin, Tudan, Kuala Baram, Piasau, Permyjaya, Lutong, Taman Tunku, Kpg Lusut, Lambir, Bakam, Tukau, Sungai Baong, Kampung Pasir Lutong, Marudi, Batu Niah dan tempat tempat lain lagi.

Mengulas lanjut, Law memberitahu kerjasama di antara JBPM Zon 6 Miri dan NSJA dalam menjayakan Program Kolaborasi Sentuhan Kasih Bomba Zon 6 adalah suatu usaha yang amat baik bagi menolong golongan yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Program yang dijalankan ini diharap sedikit sebanyak dapat membantu mereka yang memerlukan untuk meneruskan kehidupan mereka dan mampu membawa kedua-dua agensi itu, agar lebih dekat dengan masyarakat khususnya golongan yang terkesan.

Mengambil kesempatan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Tong Seng Huat Rice Trading Sdn Bhd, Tong Seng Huat Sdn Bhd, Emart Group of Companies, The Twin Brothers Patisserie dan Syazwan Bakery Station yang telah menyumbang bekalan bakul makanan untuk Program Sentuhan Kasih diagihkan kepada golongan yang memerlukan.

Sementara itu, Presiden NSJA Andy Jong Wan Joon mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ketua JBPM Zon 6 Miri Sarawak PgKB 1 Law Poh Kiong kerana sudi menjemput NSJA menyertai aktiviti CSR Program Kolaborasi Sentuhan Kasih yang amat bermakna ini demi membantu masyarakat yang dalam kesusahan.

Ini adalah julung kali NSJA terlibat dalam Program Sentuhan Kasih Kolaborasi bersama JBPM Zon 6 Miri Sarawak ini. -EDISI UKAS

Share
0

add comment