Dato Sri Dr Wan Junaidi Merasmi Projek Rancangan Memulihkan Koridor Sungai Batang Oya

SELASA, 20 JULAI 2021

MUKAH: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Malaysia), Dato Sri (Dr) Wan Junaidi Tuanku Jaafar merasmikan Projek Rancangan Memulihkan Koridor Sungai (RMKS) Batang Oya Di Pekan Sabtu Oya, Lembangan Batang Oya, Bahagian Mukah baru-baru ini.

Jelas Ahli Parlimen Santubong itu, projek pembinaan sepanjang 210 meter di tebingan sungai tersebut menelan kos sebanyak RM3,050,009 siap sepenuhnya pada 22 Julai 2020.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah turut menyaksikan majlis perasmian tersebut.

Pada program berasingan, Dato Sri (Dr) Wan Junaidi mengadakan taklimat dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia di Dewan Masyarakat Oya.

Beliau memberitahu, pihaknya amat mengambil berat terhadap usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PDK) yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

“Oleh itu saya menjemput agensi-agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) yang menawarkan pelbagai jenis bantuan untuk membolehkan para peniaga berhubung terus dengan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Dato Sri Wan Junaidi menyempurnakan penyampaian Surat Kelulusan Pra-Pendaftaran Koperasi Pekan Sabtu Oya Berhad, ‘Mock Cheque’ Program Penubuhan Koperasi Prihatin Rakyat (PEMULIH), ‘Mock Cheque’ Program Jualan Koperasi Prihatin Rakyat (PEMULIH) Koperasi Politeknik Mukah Berhad, ‘Mock Cheque’ Bantuan CSR Koperasi Pekan Sabtu Oya Berhad (Dalam Penubuhan), ‘Mock Cheque’ Sumbangan CSR Oleh Institusi Koperasi Malaysia (IKM) Kepada Pertubuhan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Daerah Dalat (PPDK), ‘Mock Cheque’ Geran Usahawan Skim Pembiayaan Kontrak-I TEKUN Nasional, ‘Mock Cheque’ Geran Pembangunan Usahawan oleh SME Corp. Malaysia dan Sumbangan Asnaf Oleh Bank Rakyat.

Menurutnya, agensi seperti TEKUN Nasional menawarkan mikro kredit pada yang tidak mempunyai modal.

“Manakala mereka yang ingin memperkembangkan perniagaan, kita ada Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME Corp) dan Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) untuk khidmat bimbingan dan sokongan,” jelasnya. –EDISI UKAS

Share
0

add comment