Perkhidmatan Bas Disediakan Buat Penduduk Kampung Endap Ke PPV UNIMAS

ISNIN, 19 JULAI 2021

KOTA SAMARAHAN : Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah menyediakan perkhidmatan pengangkutan bas buat kali kedua kepada seramai 120 penduduk Kampung Endap ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) UNIMAS bagi suntikan dos kedua vaksin COVID-19 jenis Sinovac, pada Isnin.

Difahamkan, hanya 24 penumpang sahaja dibenarkan untuk menaiki setiap bas mengikut kapasiti yang dibenarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Samarahan.

Penghantaran melibatkan penduduk dari 18 buah kampung di Daerah Samarahan dan Asajaya dilaksanakan sepanjang bulan Julai ini bertujuan membantu mereka yang mempunyai kesukaran untuk hadir ke PPV, khususnya golongan warga emas, Orang Kelainan Upaya (OKU) serta individu yang tiada pengangkutan.

Ini merupakan inisiatif Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato Idris Buang bersama JPBB Samarahan menerusi kerjasama pihak UNIMAS. 

Tinjauan UKAS pada Isnin mendapati, penduduk menunggu ketibaan bas seawal jam 8.00 pagi di Jambatan Kampung Endap dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

Dalam pada itu, suhu setiap individu akan diambil sebelum manaiki bas dan akan diberikan tanda nama bertali yang perlu digunakan sepanjang proses vaksinasi dijalankan, bagi memudahkan sukarelawan UNIMAS mengenalpasti para penumpang. -EDISI UKAS

Share
0

add comment