Program Pantri Komuniti Inisiatif Yang Bermakna Bantu Rakyat Terkesan Akibat COVID-19

SELASA, 20 JULAI 2021

KOTA SAMARAHAN: Program Pantri Komuniti merupakan inisiatif yang amat bermakna kepada rakyat yang terkesan akibat wabak COVID-19.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, program seumpamanya banyak membantu golongan yang memerlukan yang berdepan dengan kekangan kewangan dan keperluan makanan.

Menurutnya, secara peribadi beliau memuji usaha yang dilakukan oleh para pengusaha pasar raya menerusi Program Pantri Komuniti itu.

“Pada siri pertama sebanyak 14 pasar raya terlibat diikuti siri kedua pula sebanyak 13 pasar raya di sekitar Kota Samarahan yang telah membantu seramai 10 peratus masyarakat yang terjejas serta memerlukan di Kota Samarahan,” katanya selepas menghadiri Program Pantri Komuniti di Pasar Raya Farley Kota Samarahan pada Isnin.

Dato Sri Fatimah menambah, bantuan daripada kerajaan negeri juga diberikan kepada masyarakat yang memerlukan bantuan dan mungkin terdapat beberapa masyarakat yang tercicir daripada bantuan yang telah diberikan.

“Dengan aadanya bantuan tambahan melalui badan bukan kerajaan (NGO), syarikat dan juga Majlis Perbandaran, ia dapat membantu kerajaan negeri memastikan tiada rakyat Sarawak yang tercicir daripada mendapatkan bantuan ketika pandemik COVID-19,” katanya lagi.

Beliau turut memberitahu, strategi yang digunakan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) sangat baik melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan pihak pasar raya dengan mengadakan program ini secara serentak iaitu setiap pukul 3 petang pada masa yang sama dengan minima pemberian bantuan 30 pek sehari.

Selain itu, terdapat juga individu yang turut memberi derma secara persendiran kepada pihak pasar raya Farley Kota Samarahan dan segala pengurusan dari segi bahan dan kotak akan dilakukan oleh mereka.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan di atas sumbangan pengagihan bantuan makanan daripada pasar raya yang telah diatur dengan baik oleh  pihak Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) melalui pemberian bungkusan yang cantik dan perancangan yang teratur kepada mereka yang memerlukan bantuan.

Terdahulu pada majlis tersebut, Dato Sri Fatimah Abdullah telah melakukan penyerahan simbolik bakul makanan kepada 20 penerima yang terjejas di Pasar Raya Farley Kota Samarahan yang turut dihadiri oleh Pengerusi MPKS, Dato’ Peter Minos, Pengerusi Penganjur Pantri Komuniti, Dato Sim Kiang Chiok, Pengarah Urusan Farley Kota Samarahan, Eiseng Lau dan Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, DSP Sudirman Kram.

Rata-rata penerima pula melahirkan rasa syukur dan terima kasih atas inisiatif bantuan bakul makanan yang disediakan oleh pihak pasar raya kerana ianya dapat meringankan sedikit bebanan yang ditanggung oleh mereka yang terjejas pendapatan sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Kedua ini.-EDISI UKAS

Share
0

add comment