Setiap Pekerja Ladang Perlu Dapatkan Suntikan Vaksin COVID-19

SELASA, 20 JULAI 2021

MIRI: Setiap pekerja ladang termasuk warganegara asing perlu diberikan suntikan vaksin COVID-19.

Menurut Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin, ini penting bagi memastikan semua masyarakat yang berkelayakan mendapat imuniti sekaligus mencapai Imuniti Kelompok penghujung Ogos ini. 

“Pihak pengurusan Ladang Woodman telah diberitahu untuk memastikan semua pekerja ladang termasuklah warganegara asing perlu diberikan suntikan vaksin, ini juga merangkumi penduduk-penduduk khususnya dari kawasan perkampungan rumah- rumah panjang yang berhampiran dengan ladang.

“Ini adalah antara usaha JPBB Miri bagi mempercepatkan lagi proses vaksinasi dan mencapai imunisasi kelompok yang disasarkan selewatnya pada penghujung Ogos 2021 seperti diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg baru-baru ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPIV) Ladang Woodman Miri bersama COVID-19 Immunisation Task Force (CITF) Sarawak dan beberapa agensi JPBB Miri pada Isnin. 

PPVIN ini merupakan sebuah ladang yang terletak dalam kawasan Baram dan telah diluluskan CITF Sarawak yang akan beroperasi pada 20 Julai 2021 dengan kapasiti suntikan vaksin sebanyak 1,339 dos. 

Selain itu, dua lagi PPVIN yang baru telah diluluskan iaitu SOP Tinbarap 5 di dalam Daerah Beluru dan SOP Subis Galasah dalam Daerah Subis menjadikan keseluruhan PPVIN di Bahagian Miri ialah sembilan buah. 

Turut sama hadir Pemangku Residen Bahagian Miri merangkap Pemangku Pengerusi JPBB Miri Jamalie Busri, Setiausaha Bandaraya, Majlis Bandaraya Miri Morshidi Fredrick, Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr. P. Raviwharmman  Packierisamy, Pengarah Hospital Miri Dr. Jack Wong Siew Yu, Pemangku Pegawai Daerah Marudi Norlila Ulis, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sarawak Matthew Dominic Barin , Medical Director BMC Dr. Kenny Yeap Kim Pey, Pengarah Woodman Plywood Sdn Bhd Dato’ Sri Law Kiu Kiong dan agensi lain di bawah JPBB Miri. -EDISI UKAS

Share
0

add comment