50 Orang Penduduk Dari DUN Semuja Terima Bakul Makanan Menerusi Program Ziarah UKAS

RABU, 21 JULAI 2021

SERIAN: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) telah menyantuni 50 orang penduduk di lapan buah kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Semuja dalam Program Ziarah UKAS pada Rabu.

Simbolik penyampaian bakul makanan tersebut telah disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus di Kampung Slabi Plaman di sini.

Berucap ringkas dalam program tersebut, John Ilus merakamkan penghargaan kepada UKAS yang membantu menyediakan sumbangan bakul makanan kepada penduduk yang benar-benar terjejas akibat pandemik COVID-19.

Beliau juga berharap dengan adanya bantuan itu, ia dapat meringankan beban individu yang kehilangan pendapatan, balu, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

“Saya juga berterima kasih kepada ketua masyarakat dan ketua kaum yang turut membantu dalam mengenalpasti penerima yang benar-benar layak dan membantu menyerahkan bakul makanan kepada penduduk di kawasan masing-masing,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Kampung Slabi Plaman, Aten Abang yang mewakili penerima menzahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan Sarawak menerusi UKAS di atas sumbangan bakul makanan tersebut.

“Sekurang-kurangnya bantuan ini dapat melegakan hati penerima yang terkesan akibat COVID-19,” tambahnya lagi.

Program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Serian dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang terlibat.

Program Ziarah UKAS telah dilaksanakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 dalam usaha membantu melandaikan lekuk pandemik COVID-19.

Turut hadir dalam program tersebut adalah Pegawai Tadbir di Pejabat Residen Bahagian Serian, Wee Chung Yee. -EDISI UKAS

Share
0

add comment