683 Tangkapan Berkaitan Dadah Dan Substance Sepanjang Jun 2021

RABU, 21 JULAI 2021

KUCHING: Sebanyak 683 tangkapan berkaitan dadah dan substance sepanjang Jun lepas.

Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis berkata, daripada jumlah tangkapan itu, 77 kes adalah melibatkan pengedaran, 173 memiliki dadah dan substance dan 433 adalah individu yang disaring positif urin.

Menurut beliau, kejayaan yang direkodkan itu hasil daripada 564 operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak, Jabatan Kastam dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sarawak sepanjang Jun 2021.  

“Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 12.52 peratus berbanding dengan tangkapan dalam bulan Mei 2021 dengan 607 tangkapan.

“Melalui operasi tersebut, sebanyak 23,301.42 gram atau 23.3 kilogram dadah dan substance berbentuk mampat dan 1,072 berbentuk pil telah dirampas oleh JSJN dan Jabatan Kastam dengan anggaran nilai berjumlah RM514,000.  

“Impak rampasan dadah ini mampu menyekat sebanyak 23,837 kali penggunaan dadah dan substance terlarang dan menyelamatkan 5,959 individu bagi tempoh sebulan di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media laporan berkala One Stop Committee (OSC) bagi Menangani Isu Dadah dan Substance (MIDS) di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu, bagi tempoh Jun 2021, seramai 2,140 orang direkodkan menjalani rawatan dan pemulihan.

“114 orang sedang menjalani pemulihan dalam institusi di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN), 2,026 lagi dalam komuniti iaitu 1,958 Orang Kena Pengawasan (OKP), seorang di Cure and Care Service Centre, 11 di One Stop Centre for Addiction, dan 57 di pusat-pusat Badan Bukan Kerajaan (NGO),” katanya.

Datuk Francis Harden menambah, Sarawak merekodkan sebanyak 4,259 tangkapan aktiviti penyalahgunaan dadah dan substance sejak Januari 2021.

“Daripada jumlah tangkapan sebanyak 4,259 sejak Januari 2021, daerah Kuching mencatatkan tangkapan yang tertinggi di Sarawak iaitu 1,157 orang, diikuti daerah Bintulu (392 orang); daerah Sibu (329 orang); daerah Samarahan (325 orang) dan daerah Miri (317 orang),” jelas beliau.-EDISI UKAS

Share
0

add comment