RABU, 21 JULAI 2021
SIBU: Satu kes positif COVID-19 melibatkan varian Delta telah dikesan di Sibu pada 5 Julai lalu.
Menurut Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Sibu Dr Annuar Rapaee dalam Facebooknya pada Rabu, kes dikesan di Bahagian Sibu melibatkan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dari Indonesia.
“Kes tiba ke Sarawak pada 5 Julai lalu dan dirujuk ke Hospital Sibu pada 7 Julai selepas mempunyai simptom.
“Saringan awal menunjukkan kes dijangkiti varian Delta COVID-19 dan sample dihantar ke Institut Kemahiran dan Perubatan Komuniti (IHCM) UNIMAS pada 12 Julai untuk pengesanan serta pengesahan,” katanya.
Jelas Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, seorang lagi PATI yang merupakan kontak rapat dengan pesakit positif itu didapati negatif virus itu.
Bagaimanapun, individu terbabit telah dirujuk dan perlu menjalani kuarantin ke pusat kuatantin selama 21 hari selain menyerahkan kes itu kepada polis untuk tindakan lanjut.
Sehubungan itu, beliau menggesa penduduk Sibu agar sentiasa berwaspada dan mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan. -EDISI UKAS