Food Bank Pusat Khidmat SUPP Piasau Berjaya Agihkan 8,000 Bungkus Makanan, Bantu Golongan Memerlukan

RABU, 21 JULAI 2021

MIRI: Sejak 3 Julai hingga hari ini, lebih 8,000 bungkus makanan basah dan kering telah diberikan kepada penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Piasau dan sekitarnya dalam Food Bank Pusat Khidmat SUPP Piasau.

Menurut Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, secara purata lebih 400 makanan telah diagihkan setiap hari dengan hari Sabtu dan Ahad mencatat permintaan yang banyak sehingga 500 bungkus. 

“Seramai 400 orang penduduk Miri menerima bantuan makanan pada hari biasa manakala 500 pada hari Sabtu dan Ahad dengan jumlah keseluruhannya sebanyak 8,000 bungkus atau purata 400 sehari. 

“Ada di kalangan mereka yang datang mendapatkan bantuan makanan adalah orang yang sama,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas menyerahkan bantuan makanan kepada penerima di Tingkat Bawah, Pusat Khidmat SUPP DUN Piasau pada Rabu.

Food Bank Pusat Khidmat SUPP Piasau akan ditamatkan pada 22 Julai ini selepas Sarawak kini telah beralih kepada Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2 apabila beberapa kelonggaran dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan majoriti rakyat kini boleh turun kerja.

Datuk Sebastian yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang membantu mendermakan makanan dan wang tunai bagi sama-sama menjayakan Food Bank Pusat Khidmat SUPP Piasau ini. 

“Pertama sekali saya mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan yang bertugas di dapur dalam menyediakan makanan bermasak bermula 3 Julai lepas.

“Pada masa sama saya juga mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang datang menderma barangan keperluan seperti minyak masak, mi segera, beras, sayur dan sebagainya. 

“Selain barangan keperluan makanan, ada juga mereka yang memberikan wang untuk dibelikan makanan kepada mereka yang memerlukan,” ujarnya. 

Pusat Khidmat SUPP DUN Piasau dengan kerjasama beberapa orang penderma telah mengadakan Food Bank Pusat Khidmat SUPP Piasau bermula 3 Julai lepas yang bertujuan meringankan penduduk yang terkesan dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2 ini. -EDISI UKAS

Share
0

add comment