Gunakan Sebaiknya Bantuan Pertanian Untuk Sara Diri Dan Tambah Pendapatan Keluarga

RABU, 21 JULAI 2021

MIRI: Petani yang berjaya menerima bantuan peralatan dan baja untuk pertanian daripada Jabatan Pertanian Bahagian Miri diharap menggunakan kemudahan ini dengan sebaik mungkin. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin berkata, ini membolehkan petani mengusahakan pertanian untuk sara diri dan menambah pendapatan keluarga. 

“Petani yang menerima bantuan peralatan dan baja ini diminta menggunakannya dengan sebaik mungkin.

“Selain menampung keperluan harian, bantuan ini juga diharap dapat mengurangkan kos sara hidup dan menambah pendapatan sampingan melalui pengeluaran hasil pertanian,” katanya semasa ditemui selepas menyampaikan simbolik penyerahan bantuan peralatan dan baja kepada petani di Pusat Latihan Pertanian, Miri pada Rabu. 

Seramai 82 orang petani kecil di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Senadin menerima bantuan peralatan dan baja daripada Jabatan Pertanian Bahagian Miri secara berfasa.

Mereka menerima bantuan peralatan pertanian seperti kereta sorong, cangkul, bakul, dan pam penyembur racun dengan sebelum ini, mereka turut menerima racun pertanian dan baja.

Bermula bulan Mac lepas, Jabatan Pertanian Bahagian Miri telah mengagihkan bantuan peralatan seperti ketuhar, peralatan dapur basah, besen dan sebagainya kepada penerima yang layak di bawah kategori Insentif Mula Projek yang bertujuan membolehkan penerima memulakan perniagaan dalam skala kecil.

Sementara itu, salah seorang penerima bantuan Juin Amit dari Tudan Desaras Fasa 6 melahirkan rasa gembira dan terima kasih kepada ADUN Senadin dan Jabatan Pertanian Bahagian Miri di atas bantuan yang diberikan ini. 

“Terima kasih ADUN Senadin Datuk Lee Kim Shin yang telah memberikan sumbangan kepada kami di Kampung Tudan Desaras Fasa 6 yang berupa racun rumput, racun semut, baja, spray, cangkul, bakul dan sebagainya yang digunakan kami untuk aktiviti pertanian,” katanya. 

Turut hadir ialah Penolong Pegawai Pertanian Bahagian Miri Aren Wan. -EDISI UKAS

Share
0

add comment