Kerajaan Sarawak Guna Kuasa Sendiri Tangani Pandemik Covid-19

RABU, 21 JULAI 2021

KUCHING: Kerajaan Sarawak menggunakan kuasa sendiri berlandaskan Perlembagaan untuk membuat keputusan yang sesuai dengan keadaan di negeri ini agar ianya lebih praktikal dan berkesan dalam menangani pandemik Covid-19.

Menurut Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, keupayaan untuk membuat keputusan sendiri untuk kepentingan Sarawak mencerminkan jati diri anak negeri ini dalam menentukan masa hadapan sendiri agar Sarawak mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negeri-negeri atau negara-negara yang sudah berada di hadapan.

Katanya, Kerajaan Negeri menghormati keputusan diambil di peringkat persekutuan namun bertegas tidak semua keputusan dibuat di Putrajaya sesuai dan praktikal untuk dilaksanakan di Sarawak.

“Sarawak adalah sebuah wilayah yang hampir sama besar dengan tanah Semenanjung dan kadang-kala, dengan kekangan sumber dan infrastruktur, agak sukar untuk pihak berkuasa kita melaksanakan keputusan yang telah dibuat di peringkat persekutuan.

“Terdapat contoh jelas iaitu modifikasi kepada proses pemberian vaksin yang membolehkan rakyat kita di luar bandar diberi suntikan vaksin dahulu kemudian barulah didaftar di dalam aplikasi MySejahtera kerana kita akur bahawa sukar bagi saudara dan saudari di rumah-rumah panjang dan kampung untuk mendaftar dan mengakses MySejahtera.

“Ruang yang membolehkan kita membuat keputusan sesuai dengan keperluan Sarawak juga telah membolehkan kita mengambil langkah-langkah yang telah mempercepatkan proses pemberian vaksin di Sarawak.

“Pihak SDMC dengan sokongan dan kerjasama pelbagai pihak, terutamanya pihak industri telah menubuhkan pusat pemberian vaksin di tempat-tempat kerja dan juga penubuhan pasukan-pasukan begerak untuk menjangkau kepada mereka yang tidak dapat datang ke pusat-pusat vaksin. Pihak tentera juga juga membantu di kawasan-kawasan luar bandar,” katanya dalam perutusan sambutan Hari Sarawak pada Rabu.

Ujarnya, dengan semua langkah ini, Sarawak kini antara negeri terpantas dalam program pemberian vaksin dengan lebih daripada 60 peratus daripada rakyat dewasa iaitu sebanyak 2.2 juta telah menerima dos pertama.

Tambah beliau, langkah-langkah dikenakan oleh pihak SDMC untuk menghambat penularan Covid-19 termasuk mempercepatkan program pemberian vaksin telah berjaya menurunkan kes jangkitan harian kebelakangan ini.

Beliau juga terharu dengan kerjasama dan keprihatinan rakyat Sarawak yang telah tampil untuk membantu mereka yang tidak mempunyai keupayaan untuk mendapatkan bekalan makanan dalam tempoh PKP yang berlangsung kebelakangan ini.

Tambahnya lagi, Kerajaan Negeri juga telah melaksanakan program bantuan makanan melalui BKSS 6.0 dan juga Kerajaan Persekutuan melalui PEMULIH tetapi tidak dapat menolak kemungkinan ada yang tertinggal atau tidak mendapat bekalan yang mencukupi untuk menampung keperluan sepanjang tempoh PKP.

Sementara itu, Ketua Menteri memberitahu kerajaan pimpinannya merancang pembangunan ekonomi secara strategik dengan memberi tumpuan kepada pembangunan infrakstruktur termasuk infrastruktur Internet dalam usaha membawa Sarawak mencapai status negeri maju pada tahun 2030.

“Saya amat yakin dengan dasar kita yang berpandangan jauh, pembangunan ekonomi negeri ini mampu kita bawa ke tahap yang lebih tinggi dan peningkatan kepada pendapatan rakyat dengan produk-produk yang mempunyai nilai tambah.

“Sambutan perayaan pada kali ini menjadi lebih bermakna dengan pelancaran pelan pasca COVID-19 bagi Negeri Sarawak yang bertujuan melakar hala tuju ekonomi kita hingga ke 2030 dengan mengambil kira impak COVID-19,” ujarnya lagi.

Dalam hal ini, Ketua Menteri mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat yang melibatkan diri dalam politik dengan berhemah dan menghindarkan Sarawak daripada keadaan yang kucar-kacir dan stabil.

Beliau juga mengajak seluruh anak Sarawak supaya terus berganding bahu dan berusaha dengan gigih tanpa mengira apa peranan untuk mengangkat martabat Sarawak sebagai sebuah negeri yang cemerlang untuk semua rakyat dan generasi yang akan datang.

Malah beliau yakin kekangan yang dihadapi ketika ini tidak melunturkan semangat Anak Sarawak untuk memperingati peristiwa yang amat penting dalam lipatan sejarah negeri ini. – EDISI UKAS

Share
0

add comment