RABU, 21 JULAI 2021
MUKAH: Kelancaran proses imunisasi di pusat pemberian vaksin (PPV) tidak hanya bergantung kepada kecekapan dan komitmen para petugas barisan hadapan.
Sebaliknya, peranan sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers atau MyVac juga wajar diberikan kredit sebagai pasukan sokongan dalam membantu melicinkan proses di PPV.
Bagi Micol Yeo Rou Xi, sukarelawan MyVac yang ditemui Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di PPV Dewan Suarah Mukah, beliau amat berbangga dan begitu bersemangat kerana dapat membantu negara memerangi pandemik Covid-19.
“Itulah semangat kami sukarelawan yang terlibat dalam proses vaksinasi dan pengurusan CoviD-19 di PPV Dewan Suarah Mesra Mukah khususnya dan di negara ini amnya,” katanya.
Mohamad Syazuan Ideris turut berbangga kerana dapat membantu sebagai sukarelawan dan menyeru orang ramai untuk mendaftar sebagai penerima vaksin.
“Saya sangat berbangga menjadi salah seorang ahli yang membantu masyarakat dalam pemberian vaksin khasnya di PPV Mukah,” jelas beliau.
Seramai 30 petugas MyVac membantu pasukan CITF di Daerah Mukah dengan penugasan secara penggiliran.
Program mobilisasi sukarelawan ini menjadi instrumen yang amat penting dalam kempen vaksinasi Malaysia bagi mencapai ‘Herd Immunity’.
Ia merupakan satu inisiatif yang ditubuhkan hasil kerjasama antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI), Kementerian Belia & Sukan (KBS), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (MRCS) untuk membantu dalam pelancaran program imunisasi kerajaan dengan menempatkan individu yang bersedia berkhidmat dalam pasukan vaksinasi.
MySukarela ditubuhkan untuk menyokong pelaksanaan MyVAC dengan berkesan dan membantu mengisikan keperluan tenaga kerja bagi perlaksaanan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dengan menempatkan sukarelawan yang rela dan bersemangat dari semua lapisan masyarakat. – EDISI UKAS