Petugas PPV Dewan Suarah Mukah ‘Korbankan’ Cuti, Komited Teruskan Program Vaksinasi

RABU, 21 JULAI 2021

MUKAH: Ketika umat Islam lain sibuk menikmati sambutan Hari Raya Aidiladha bersama keluarga, petugas barisan hadapan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Suarah Mukah tetap komited meneruskan program imunisasi dalam usaha melindungi masyarakat dari wabak Covid-19.

Sebagai menghargai pengorbanan dan komitmen para petugas, Jawatankuasa Khairat Kematian Kampung Kuala Lama dan Pusat Khidmat Mukah tampil menyantuni mereka di PPV berkenaan pada Selasa.

Sumbangan berupa juadah itu disumbangkan Ahli Parlimen Mukah merangkap Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Sabah Dan Sarawak, Dato Hanifah Hajar Taib.

Menurut Ketua Urusetia CITF Mukah, Nolin Gendang, pihaknya amat berterima kasih kepada yang memberi sumbangan dan di atas keprihatinan masyarakat di kawasan Mukah ini lebih-lebih semasa hari istimewa bagi umat Islam.

Beliau turut berasa terharu dengan komitmen para petugas lebih-lebih lagi yang beragama Islam kerana sanggup mengorbankan masa melaksanakan tanggungjawab untuk capai imuniti kelompok.

Pada masa sama, beliau menggesa mereka yang belum divaksin untuk mendaftar demi memastikan diri mempunyai imunisasi dan antibodi dalam berdepan pandemik Covid-19.

Juruteknik dan teknikal MySejahtera, Mohd Firdaus Jamal pula memberitahu proses pemvaksinan tetap diteruskan pada cuti umum demi untuk memastikan sasaran imuniti kelompok dapat dicapai.

Bagi menghidupkan suasana Hari Raya Aidiladha, para petugas memakai baju kurung dan berbaju Melayu.

Petugas juga berkesempatan melaungkan takbir sebelum melaksanakan tanggungjawab bagi menyemarakkan suasana Aidiladha walaupun terpaksa meninggalkan keluarga demi tanggungjawab yang digalas. – EDISI UKAS

Share
0

add comment