PPV Dewan Mesyarakat Trusan Beroperasi Seperti Biasa Pada Hari Raya Aidiladha

RABU, 21 JULAI 2021

TRUSAN: Cuti umum bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha tidak menghalang petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan agensi lain seperti Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Sukarelawan MyVac dan agensi kerajaan lain untuk memberikan vaksin kepada orang ramai. 

Segak bergaya kaum lelaki yang berbaju Melayu lengkap bersamping dan songkok serta kaum perempuannya berpakaian baju kurung menghiasi pemandangan Proses Vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Mesyarakat Trusan pada Selasa. 

Seawal jam 8.00 pagi, PPV Dewan Mesyarakat Trusan telah menerima kehadiran orang ramai yang hadir bagi mendapatkan suntikan vaksin dos kedua. 

Mereka yang menerima vaksin COVID-19 itu merupakan penduduk yang tidak hadir ke PPV Dewan Mesyarakat Trusan pada Khamis lepas disebabkan jalan perhubungan terputus akibat banjir. 

Sejumlah 200 dos vaksin jenis Sinovac diberikan kepada penerima bagi melengkapkan pemberian vaksin dos kedua. 

Pada kali ini, tiada masa yang ditetapkan dengan penduduk mengambil kesempatan cuti umum untuk hadir ke PPV Dewan Mesyarakat Trusan pada sebelah pagi. 

Proses vaksinasi berjalan dengan baik dan lancar dengan setiap penerima vaksin mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan. -EDISI UKAS

Share
0

add comment