Program Vaksinasi Di PPV Dewan Suarah Matu Diteruskan Hingga Minggu Pertama Ogos Depan

RABU, 21 JULAI 2021

MATU: Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Suarah Matu akan diteruskan sehingga minggu pertama Ogos depan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Dato’ Murshid Diraja Dr Juanda Jaya, tempoh itu dilanjutkan sekitar dua minggu dari jadual asal bagi memastikan semua penduduk yang layak di kawasan itu menerima vaksin sekali gus mencapai sasaran mewujudkan imuniti kelompok.

“Saya difahamkan PPV Dewan Suarah Matu akan beroperasi sehingga minggu pertama bulan Ogos.

“Ini pelanjutan yang dilakukan sekitar dua minggu dari pelan asal adalah bertujuan memastikan semua rakyat yang berkelayakan di kawasan ini diberikan vaksin bagi memastikan kejayaan program pihak kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok sesegera yang mungkin,” jelasnya kepada UKAS semasa meninjau PPV Dewan Suarah Matu pada Rabu.

Dato’ Dr Juanda berkata hampir 19,000 dos telah diberikan kepada penduduk sejak pusat vaksinasi itu memulakan operasinya pada 4 Jun 2021.

Katanya, sepanjang 29 operasi di PPV itu, segala proses pemberian vaksin berjalan lancar.

Malah katanya, sokongan dan kerjasama penduduk dalam menjayakan program itu juga sangat baik dan begitu tinggi.

Beliau turut menyeru penduduk di Matu yang belum menerima vaksin untuk segera berjumpa ketua masyarakat atau hadir ke klinik yang berdekatan untuk mendaftarkan diri atau datang terus ke PPV Dewan Suarah Matu.

Sementara itu, Penyelaras PPV Dewan Suarah Matu, Dr Fatimah Azzahra Mohd Zukki mendedahkan seramai 11,185 penduduk telah menerima dos pertama dan 7,604 telah menerima dos kedua di Daerah Matu setakat 20 Julai 2021.

Selain itu, program ‘mopping’ juga telah dimulakan pada minggu lepas ke kawasan kampung yang jauh dari PPV Dewan Suarah Matu untuk memvaksinasi penduduk kampung yang terlantar dan OKU yang tidak dapat bergerak. – EDISI UKAS

Share
0

add comment