RABU, 21 JULAI 2021
KUCHING: Pustaka Negeri Sarawak telah merangka pelbagai program bagi memeriahkan sambutan Hari Sarawak 2021 yang bermula sejak 19 Julai lepas.
Dalam kenyataan media pada Rabu, sambutan kali ini sekali lagi dibuat secara dalam talian menerusi platform digital atau dunia maya ekoran penularan pandemik COVID-19.
“Slot Sejarah Sarawakku Sayang yang akan disiarkan di sepanjang tempoh tersebut umpamanya akan berkongsi maklumat mengenai pelbagai peristiwa bersejarah yang telah berlaku seperti semasa zaman pemerintahan Brooke dan sebagainya.
“Turut diadakan Pameran Hari Sarawak yang akan disiarkan secara dalam talian menerusi laman web rasmi Pustaka Negeri Sarawak (pustaka.sarawak),” katanya.
Tambah kenyataan itu lagi, kemuncak sambutan hari Sarawak 2021, akan disiarkan menerusi saluran media sosial rasmi Pustaka Negeri Sarawak (pustaka.sarawak) dan YouTube (pustakasarawak) iaitu Forum Hari Sarawak: Sarawak Gemilang Untuk Semua bermula pada jam 2.30 petang.
“Forum tersebut akan mengupas mengenai pengalaman dan pandangan setiap ahli panel yang telah dijemput iaitu pensyarah dari Universiti Malaysia Sabah Dr. Bilcher Bala, Pensyarah dari Universiti Teknologi Swinburne Dr. Ong Liap Teck, pensyarah dari Universiti Teknologi MARA kampus Sarawak Dr. Nadrawina Isnin dan Amir Zuhaily Zaidan dengan Japri Bujang Masli dari Pustaka Negeri Sarawak akan bertindak sebagai moderator.
“Pada 23 Julai 2021 pula berlangsungnya Forum Sarawakiana yang bertajuk Rosli Dhobi, Semangat Yang Tidak Mati,” tambahnya.
Banyak lagi program menarik diadakan secara dalam talian antaranya Book Review: Sarawakiana Collection, Book Talk: Development of Architechture in Sarawak, Poster Pantun Semangat Merdeka, Pustaka Young Explorer: Cerita Rakyat, Belajar Bahasa Sarawak Siri 1 & 2, Deklamasi Puisi Kepada Wira & Wirawati Negara, Miri: Dolok, Marek & Kinek, Sarawak Independence Memory Sharing: Abg Mohamad Abg Jess dan Poster Pantun Sarawak Dalam Sejarah.
Setiap program tersebut diadakan secara percuma dan sebarang pertanyaan lanjut mengenai program-program yang dinyatakan bolehlah berhubung dengan pegawai seranta Pustaka Negeri Sarawak iaitu Dayang Nur Syima Awang Adrus (cmasyima@sarawak.gov.my) di talian 082-440488, Pustaka Negeri Sarawak, Sibu Nur Amanina Mastani (nuraman@sarawak.gov.my) di talian 084-315200 dan Pustaka Negeri Sarawak, Miri Lilian Baun Pulo (lilianbp@sarawak.gov.my) di talian 085-422525. -EDISI UKAS