RABU, 21 JULAI 2021
KUCHING: Permohonan Skim Bantuan Sewa Kediaman atau ‘Sarawak Rental Assistance Scheme’ (SRAS) dibuka kepada mereka yang kini menyewa di sekitar Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) Sarawak, Mohamad Asman Ahmad berkata, SRAS adalah skim bantuan sewa sebanyak RM200 sebulan iaitu selama 36 bulan atau tiga tahun.
Menurutnya, SRAS adalah seperti diumum Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam Belanjawan Negeri Sarawak pada November tahun lalu.
Skim ini dijangka dapat memberi manfaat kepada kira-kira 20,000 isi rumah yang layak terutama golongan berpendapatan rendah dan terkesan disebabkan pandemik Covid-19.
Penyewa-penyewa yang berminat boleh mendapatkan maklumat dan memuat turun borang permohonan SRAS secara percuma di laman web http://hdc.sarawak.gov.my.
Maklumat juga boleh dilayari di laman Facebook Kelab Kebajikan Sukan & Rekreasi HDC.
Permohonan SRAS adalah terbuka untuk warga Malaysia khasnya anak Sarawak.
Peserta yang tersenarai di dalam sistem e-kasih dan/atau pendapatan isi rumah tidak melebihi RM2,131 sebulan juga dialu-alukan memohon.
Pemohon boleh menghubungi terus Ibu Pejabat HDC Kuching ditalian 082-444381 atau 082443681 untuk sebarang pertanyaan.
Borang permohonan lengkap hendaklah dihantar ke pejabat-pejabat HDC di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri. -EDISI UKAS