RABU, 21 JULAI 2021
SERIAN: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) telah menyantuni 50 orang penduduk di empat buah kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tarat menerusi Program Ziarah UKAS pada Rabu.
Antara kampung tersebut adalah Kampung Ampungan, Kampung Sebangkui, Kampung Tanah Puteh dan Kampung Munggu Kopi.
Simbolik penyampaian bakul makanan itu telah disempurnakan oleh Menteri Muda Pemodenan Pertanian Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat, Datuk Roland Sagah Wee Inn.
Dalam ucapan ringkasnya, beliau mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada UKAS di atas usaha murni yang diberikan demi membantu penduduk yang terkesan sepanjang pandemik COVID 19.
Objektif program adalah untuk menyantuni penduduk kampung yang terkesan akibat pandemik COVID-19 dengan penerima dipilih berdasarkan senarai nama yang dinilai layak oleh setiap Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang terlibat.
Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Serian dan JKKK yang terlibat.
Turut hadir dalam program tersebut adalah Residen Bahagian Serian merangkap Pengerusi JPBB Serian, Tuah Suni. -EDISI UKAS