ADUN Murum Sertai Pasukan Mobile Vaksin Daerah Tegulang

KHAMIS, 22 JULAI 2021

MURUM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon turut serta bersama Pasukan Mobile Vaksin menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di daerah Tegulang baru baru ini.

Program vaksinasi itu berlangsung selama dua hari, melibatkan lima buah rumah panjang iaitu Uma Penan Long Malim, Uma Penan Long Wat, Long Malim Kenyah, Long Magan dan Long Lawen.

Difahamkan, seramai 2,000 individu disasarkan untuk divaksinasi di kawasan itu dan sekiranya berjaya mencapai sasaran, pasukan akan meneruskan program ke penempatan suku kaum Penan di Long Jaik, Long Peran serta kawasan Metalun.

Kennedy Chukpai dalam pada itu turut memberi sumbangan kewangan, bekalan makanan dan minuman kepada pasukan petugas PPV Bergerak tersebut.

Beliau juga menzahirkan rasa syukur atas penglibatan penduduk dalam pengambilan vaksin COVID-19 sekaligus merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus lumus melancarkan pelaksanaan program. – EDISI UKAS

Share
0

add comment