ADUN Pakan Turun Padang Tinjau Projek RTP, Serah Cek UNIFOR

KHAMIS, 22 JULAI 2021

PAKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom pada Rabu turun padang meninjau tapak projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di daerah Pakan.

Lawatan pertamanya bersama kakitangan teknikal Majlis Daerah Meradong Julau ke tapak projek RTP jalan dari persimpangan jalan Pakan, Ulu Kota ke Klinik Kesihatan Nanga Kara, Pakan untuk memastikan projek tersebut disiapkan mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Seterusnya, beliau meninjau tapak projek menyimen jalan menuju ke Rumah Jubang, Sungai Pinang Jalan Buku, Ulu Pakan.

Beliau berharap agar projek tersebut dapat memberi keselesaan dan kemudahan kepada penduduk di rumah panjang tersebut.

Tan Sri William Mawan turut berkesempatan menyerahkan dua cek Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) fasa kedua bagi tahun 2021 bertempat di Pusat Khidmat DUN Pakan.

Beliau menyerahkan cek berkenaan kepada Pengerusi St. Matthew’s Chapel Sugai Pakan, Jeffry Banyan berjumlah RM100,000 bagi tujuan membaikpulih St. Matthew’s Chapel Sugai Pakan.

Jumlah peruntukan sama turut diagihkan kepada Pengerusi BEM Daerah Pakan, Paul Landing Muyang untuk membaiki struktur tanah runtuh tebingan BEM Eden Church, Rumah Ko, Nanga Balong Pakan.

Tan Sri William Mawan dalam pada itu berharap projek untuk pusat ibadat ini akan memberi keselesaan kepada penganut Kristian di kawasan ini melaksanakan ibadat mereka. – EDISI UKAS

Share
0

add comment