Dua Bilik Gerakan PKPD Di Padawan Terima Bantuan Kelengkapan

KHAMIS, 22 JULAI 2021

PADAWAN : Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN Mambong yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)nya, Datuk Dr. Jerip Susil, telah turun ke dua lokasi yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), bagi menyumbangkan bantuan kelengkapan sekaligus meninjau keadaan di bilik gerakannya.

Dua lokasi PKPD yang ditinjau ialah di Kampung Garung dan Kampung Nyiru Grait. 

Kelengkapan berupa satu unit komputer riba, satu unit mesin pencetak beserta tiga unit papan putih disampaikan oleh Setiausaha Sulit ADUN Mambong,Terence Tikok pada Rabu. 

Menurut Terence, bantuan tersebut adalah susulan daripada permohonan kedua-dua bilik gerakan PKPD tersebut yang amat memerlukan peralatan sedemikian bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengoperasian seharian.

PKPD di Kampung Garung berkuatkuasa mulai 18 Julai sehingga 31 Ogos 2021, manakala Kampung Nyiru Grait berkuatkuasa pada 19 Julai 2021 hingga 31 Ogos 2021. -EDISI UKAS