Kerajaan Sarawak Lancar PCDS 2030, Strategi Capai Negeri Maju Menjelang 2030

KHAMIS, 22 JULAI 2021

KUCHING: Kerajaan Sarawak terus melakukan perancangan pelan dan strategi untuk menjadi negeri maju menjelang 2030 walaupun masih berdepan dengan pandemik COVID-19.

Ke arah itu, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah melancarkan Strategi Pembangunan 2030 Pasca COVID-19 (PCDS) bersempena dengan sambutan Hari Sarawak 2021 di Kuching pada Khamis.

Menurutnya, fasa pertama PCDS 2030 akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) bermula tahun ini hingga 2025.

“Sasaran di bawah RMK-12 dan PCDS 2021-2030 adalah untuk perkembangan ekonomi dengan purata enam hingga lapan peratus setahun.

“Kerajaan Sarawak menganggarkan RM63 bilion bagi pelaksanaan PCDS 2030 di bawah RMK-12 iaitu RM30 bilion akan datang dari perbelanjaan pembangunan langsung dan RM33 bilion lagi dari dana alternatif,” katanya semasa berucap.

Tambah Ketua Menteri, di bawah PCDS 2030, terdapat enam sektor ekonomi utama sebagai pemacu pertumbuhan iaitu Pembuatan, Pertanian Komersial, Pelancongan, Perhutanan, Perlombongan dan Perkhidmatan Sosial.

Jelasnya, enam sektor berkenaan akan disokong tujuh pemboleh ubah iaitu Transformasi Digital, Inovasi, Infrastruktur Asas, Pengangkutan, Utiliti, Tenaga Boleh Diperbaharui, Pendidikan serta Pembangunan Modal Insan.

Sementara itu, dalam sidang media selepas majlis pelancaran tersebut, Datuk Patinggi Abang Zohari yakin strategi itu mampu menjadikan Sarawak negeri maju menjelang 2030.

“Ia bukan tugas yang mudah namun kita mengambil kira apa yang berlaku di sekeliling Sarawak.

“Terasnya ialah kita berusaha seiring dengan perubahan global, ke arah pembangunan lestari dan menyediakan infrastruktur kepada semua pihak,” katanya.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri-Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion, menteri-menteri kabinet dan dif-dif kehormat yang lain. – EDISI UKAS

Share
0

add comment