Masjid Pehin Sri Adenan Dijadikan ‘Food Bank’ Oleh Baitulmal Sarawak, Bantu Golongan Memerlukan

KHAMIS, 22 JULAI 2021

LUNDU: Masjid Pehin Sri Adenan Lundu telah dijadikan sebagai salah satu pusat ‘food bank’ bagi daerah Lundu oleh Baitulmal Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu berkata, dengan adanya ‘food bank’ itu, golongan memerlukan di daerah berkenaan dapat dibantu menerusi pek makanan yang disumbangkan.

Menurutnya, beliau juga memohon pihak pengurusan Masjid Pehin Sri Adenan agar membantu semua yang memerlukan tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

Terdahulu beliau telah menyampaikan secara simbolik sumbangan pek makanan daripada pihak Baitulmal Sarawak kepada pengurusan Masjid Pehin Sri Adenan dan turut disaksikan oleh Pegawai Daerah Lundu, Gustian Durani.

Pihak Baitulmal Sarawak telah menyumbangkan 30 pek bantuan makanan berupa beras, air mineral, mi segera, gula dan biskut kepada Masjid Pehin Sri Adenan sebagai permulaan bagi ‘food bank’ ini.

Lembaga Amanah Kebajikan Islam Lundu (LAKIL) dan Yayasan Jaznan turut menyumbangkan wang tunai berjumlah RM1,200 dan RM2,000 setiap satu bagi pembelian bantuan makanan asas. -EDISI UKAS

Share
0

add comment