Program Peladang Prihatin Bantu Petani Dan Hargai Jasa Petugas Barisan Hadapan

KHAMIS, 22 JULAI 2021

SEBAUH: Kerajaan Sarawak telah mengambil langkah proaktif semasa penularan COVID-19 ini apabila membantu petani membeli hasil tani mereka. 

Ini disebabkan sepanjang tempoh penularan COVID-19 hasil tani mereka tidak dapat dipasarkan dan dengan inisiatif ini membolehkan petani memperoleh pendapatan. 

Menerusi Program Peladang Prihatin anjuran Jabatan Pertanian Sarawak dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bintulu telah membeli hasil tani berupa buah-buahan untuk diserahkan kepada petugas barisan hadapan yang bertugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Penyerahan buah-buahan kepada petugas barisan hadapan sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mereka dalam memberikan suntikan vaksin COVID-19 dan memastikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dilaksanakan dengan jayanya. 

Seperti sebelumnya, Program Peladang Prihatin yang sebelum ini telah diadakan di beberapa PPV di Bintulu kini diteruskan di PPV Balai Raya Sebauh. 

Menteri Utiliti Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom telah menyerahkan buah-buahan kepada wakil petugas PPV Balai Raya Sebauh pada Rabu. 

Hadir sama Pegawai Daerah Sebauh William Manggoi, Penolong Pegawai Pertanian Bahagian Bintulu Anggang Jimbun dan Setiausaha Politik Ketua Menteri Sarawak Jenny Bangga. -EDISI UKAS

Share
0

add comment