Sarawak Mampu Laksana Pelbagai Inisiatif, Program Dan Projek Yang Telah Dirancang

KHAMIS, 22 JULAI 2021

KUCHING: Kerajaan Sarawak mempunyai kemampuan untuk melaksanakan pelbagai inisiatif, program dan projek yang telah dirancang.

Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion berkata, pelancaran Strategi Pelan Pembangunan 2030 Pasca COVID-19 akan menyaksikan rakyat Sarawak mengalami pembangunan pesat sekaligus meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi rakyat dengan lebih banyak akses kepada peluang ekonomi.

Menurut beliau, sektor perkhidmatan awam Sarawak amat komited untuk mempermudah pelaksanaan rancangan dan memberikan sokongan yang diperlukan kepada Kerajaan negeri, sektor swasta dan rakyat.

“Segala yang kita lakukan semasa dan selepas krisis ini mestilah dengan fokus yang kuat untuk membangun ekonomi dan masyarakat yang lebih adil, inklusif dan lestari dalam menghadapi pandemik, perubahan iklim serta cabaran global lain,” katanya semasa berucap dalam Majlis Pelancaran Strategi Pelan Pembangunan 2030 Pasca COVID-19 (PCDS) di sini pada Khamis.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan turut dihadiri oleh ketiga-tiga Timbalan Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Datuk Amar Jaul turut menambah, rancangan itu juga merupakan usaha berterusan pelbagai pihak bagi memastikan ia lebih berfaedah dengan bimbingan Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak (SEAC) dan Ketua Menteri Sarawak dan pada masa sama memberi peluang kepada pelbagai pihak berkepentingan untuk berkongsi pemikiran dan aspirasi mereka.

Ujarnya lagi, langkah penting seterusnya selepas pelancaran pelan tersebut adalah mengembangkan Pelan Tindakan dan Pelaksanaan (AIP) dengan memperincikan langkah yang diperlukan untuk mencapai hasil utama yang dikenal pasti dalam PCDS 2030.

“Pelan tindakan dan pelaksanaan adalah penting untuk menyediakan panduan yang jelas kepada agensi dalam melaksanakan PCDS 2030,” jelasnya lagi.-EDISI UKAS

Share
0

add comment