Satu Kes Varian Delta Dikesan Di Daerah Miri

KHAMIS, 22 JULAI 2021

MIRI: Satu kes positif COVID-19 varian Delta (B.1.167.2) telah dikesan di Daerah Miri.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri dalam kenyataan media pada Rabu berkata, kes baharu varian ini telah dikesan di Daerah Miri menerusi sampel rawak yang dikesan dari semasa ke semasa.

“Ini selepas kenyataan terkini Pengarah Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Professor Dr David Perera kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Rabu,” katanya

Jelas JPBB Miri lagi, varian Delta ini dikesan melalui pengesanan dan pengawasan berterusan varian SARS-COV-2 yang tersebar di Sarawak berdasarkan sampel (COVID-19) kes positif yang diambil secara rawak untuk diuji termasuk dari Daerah Miri.

“Kes telah diberikan perintah kuarantin dan ditempatkan di pusat kuarantin sebelum dikesan melalui ujian saringan COVID-19 pada penghujung bulan Jun,” jelasnya lagi. 

Orang ramai khususnya individu yang berumur 18 tahun ke atas di Daerah Miri yang masih belum mendaftar atau menerima vaksin untuk segera menghubungi melalui Whatsapp 011-59284348 atau 011-59424290 (mesej sahaja) butiran mereka untuk pemberian temu janji suntikan vaksin atau menghubungi talian 085-322229/085-322410/085-322382/085-322127. 

Dalam pada itu bermula Jumaat ini penduduk di Daerah Miri boleh mendaftar atau mendapat suntikan vaksin secara ‘walk-in’ di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Curtin dari jam 2.00 petang hingga 5.00 petang dan hanya dihadkan untuk 200 orang sehari. -EDISI UKAS

Share
0

add comment