UNIMAS Sediakan Bas Kepada Penduduk Kampung Mang Untuk Jalani Proses Vaksinasi

KHAMIS, 22 JULAI 2021

KOTA SAMARAHAN: Seramai 125 penduduk dari Kampung Mang Tradisi dan Kampung Mang Lot telah dibawa ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Detar Putra, UNIMAS dengan menggunakan khidmat pengangkutan lima buah bas yang disediakan oleh pihak Universiti tersebut bagi menerima suntikan vaksin dos kedua jenis Sinovac, pada Rabu.

Penyediaan pengangkutan bas ini merupakan inisiatif Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato Idris Buang bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Samarahan (JPBBS).

Tinjauan UKAS mendapati , penduduk telah berkumpul di Dewan Perpaduan Kampung Mang seawal jam 8.00 pagi, sementara menunggu ketibaan bas.

Hanya 25 penumpang sahaja dibenarkan untuk menaiki setiap bas mengikut kapasiti yang dibenarkan oleh JPBBS.

Prosedur Operasi Standard (SOP) juga dipatuhi termasuk pengambilan suhu sebelum memasuki bas dan memakai tanda nama bertali bagi memudahkan proses pengecaman individu yang dikendalikan oleh sukarelawan UNIMAS sepanjang proses vaksinasi dijalankan.-EDISI UKAS

Share
0

add comment