187 Penduduk Terima Vaksin COVID-19 Dos Kedua Di PPV Dewan Sekolah SJK (C) Long Lama

JUMAAT, 23 JULAI 2021

LONG LAMA: Biarpun cuti umum pada 22 Julai sempena Hari Sarawak, namun proses vaksinasi tetap diadakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Long Lama. 

Seramai 187 penduduk yang mempunyai temu janji dos kedua turun bagi mendapatkan suntikan vaksin. 

Seawal jam 8.00 pagi, penduduk mula memenuhi ruang menunggu dengan mengikuti amalan SOP yang ditetapkan iaitu dengan mengekalkan jarak satu meter selain memastikan setiap individu yang hadir wajib menggunakan pelitup hidung dan mulut serta menggunakan pembersih tangan yang disediakan. 

Sementara itu, penduduk yang belum mendapatkan temu janji vaksinasi masing-masing atau jika ingin mendapatkan maklumat vaksinasi, boleh berhubung dengan PPV Dewan Sekolah SJK (C) Long Lama di talian 085-771326, 085-771325 dan 085-771018. -EDISI UKAS

Share
0

add comment