32 Ahli MBM Terima Watikah Pelantikan Semula, Fokus 2022 Miri Sebagai Bandar Peranginan Hijau, Pintar dan Hidup

JUMAAT, 23 JULAI 2021

MIRI: Seramai 32 Ahli Majlis Bandaraya Miri (MBM) telah menghadiri angkat sumpah Pelantikan Semula Ahli-Ahli Majlis Bandaraya Miri dan menandatangani Sijil Akuan Menerima Jawatan berkuatkuasa mulai 1 Julai 2021 hingga 30 Jun 2022 pada Jumaat. 

Upacara Angkat Sumpah Pelantikan Semula Ahli-Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan telah diadakan dalam talian dan disaksikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg. 

Mendahului senarai angkat sumpah Datuk Bandaraya Majlis Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang diikuti Timbalan Datuk Bandaraya Majlis Bandaraya Miri Julaihi Mohamad dan Setiausaha MBM Morshidi Fredrick. 

Semasa ditemui selepas upacara angkat sumpah, Datuk Bandaraya Miri Adam Yii berkata, MBM akan memfokuskan kepada slogan Bandar Peranginan Hijau, Pintar dan Hidup. 

“Pada tahun 2022, Majlis Bandaraya Miri adalah untuk mempertingkatkan slogan yang sedia ada, iaitu “Bandar Peranginan Hijau, Pintar dan Hidup. 

“Oleh itu, kami memberi perhatian khusus kepada aspek ini. 

“Selain itu, kami juga akan melakukan tugasan pada setiap hujung minggu untuk meningkatkan lagi penyampaian perkhidmatan tersebut,” katanya. 

Dalam pada itu, Adam Yii turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada semua staf dan kakitangan MBM atas perkhidmatan cemerlang mereka selama ini. 

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Setiausaha dan semua staf Majlis Bandaraya Miri yang telah memberi sokongan terhadap operasi sejak beberapa tahun kebelakangan ini. 

“Dan selepas ini kita akan melakukan yang lebih baik untuk Bandaraya Miri,” ujarnya. -EDISI UKAS

Share
0

add comment