4 Kompaun Atas Dikeluarkan Atas Pelbagai Kesalahan Dalam Operasi Pematuhan SOP

JUMAAT, 23 JULAI 2021

BINTULU: 46 buah premis pelbagai perniagaan di Bahagian Bintulu telah diperiksa pada Jumaat. 

Dalam pemeriksaan itu, sebanyak 4 kompaun telah dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan dengan 3 kompaun sebanyak RM6,000 atas kesalahan ingkar arahan selain menggunting rambut dan satu lagi kompoun sebanyak RM1,500 atas kesalahan gagal mengimbas aplikasi MySejahtera.

Sementara itu, ketika ditemui Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu Dr. Melvin Chung Hsien Liang berkata masyarakat perlu mempunyai kesedaran dan jangan leka didalam mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kita berharap agar dapat mengekalkan kes dalam satu angka dan kalau dapat kosong kes. 

“Kita tahu bila kes meningkat pihak kesihatan yang akan bertanggungjawab, tetapi sekarang kes kita sudah berkurang dan tanggungjawab itu kembali kepada masyarakat untuk mengekalkan atau memutuskan pandemik. 

“Kita tidak mahu melalui apa yang telah dilalui sebelum ini. Kita mesti ingat bahawa kita belum menang lagi dan kita memerlukan bantuan semua pihak,” katanya.

Jelas Dr Melvin lagi, beliau berasa sedih dan terkilan dengan sikap masyarakat yang seperti menidakkan kepentingan SOP dan adalah tidak mustahil kes di Bintulu akan meningkat sekiranya masyarakat masih berdegil.

“SOP seperti penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka, mengimbas MySejahtera dan sebagainya sudah menjadi norma baharu sejak tahun lepas lagi. 

“Jadi, kita seharusnya sudah sedia maklum apa yang perlu dilakukan apabila berada di tempat awam,” jelasnya. -EDISI UKAS

Share
0

add comment