50 Penduduk Dari 6 Buah Kampung Luar Bandar Limbang Terima Bantuan UKAS Prihatin

JUMAAT, 23 JULAI 2021

LIMBANG: Seramai 50 orang penduduk luar bandar dari 6 buah kampung dalam Parlimen Limbang telah menerima bakul makanan sumbangan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dalam Program Ziarah UKAS pada Khamis. 

Simbolik penyampaian bakul makanan telah disempurnakan Pemanca Abu Bakar Tinggal dan Penghulu Ahmad Bini kepada setiap Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). 

Penerima sumbangan terdiri daripada golongan asnaf, ibu tunggal, warga emas dan golongan orang kelainan upaya (OKU) yang terkesan akibat pandemik COVID-19. 

Antara kampung yang terlibat ialah Kampung Meritam, Kampung Telahak, Kampung Binjai, Kampung Ulak, Kampung Mengatai dan Kampung Buangabai.

Ketika ditemui, salah seorang Pengerusi JKKK yang mewakili penerima menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada UKAS atas keperihatinan dan inisiatif memberikan sumbangan bakul makanan berupa keperluan harian dan pelitup muka serta pembersih tangan.

Sementara itu, Pemanca Abu Bakar turut menasihatkan mana-mana penduduk kampung yang tertekan tidak mempunyai bekalan makanan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini boleh memaklumkan kepada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) untuk diusahakan dan dipanjangkan kepada agensi yang berkaitan. -EDISI UKAS

Share
0

add comment