JUMAAT, 23 JULAI 2021
BINTULU: Varian Delta atau dikenali sebagai SARS-CoV-2 merupakan virus COVID-19 yang meyebabkan kepada lonjakan jangkitan baharu di dunia dengan mula dikesan di India penghujung Disember tahun 2020.
Menurut rekod Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sehingga 16 Jun, varian Delta ini telah tersebar di lebih 80 buah negara dan baru-baru ini mula menular di Sarawak.
Bagaimanapun, Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu Dr. Melvin Chung Hsien Liang berkata, Bahagian Bintulu belum lagi dikesan varian Delta ini.
“Menurut laporan JPBN Sarawak untuk Bahagian Bintulu kita tidak ada varian Delta tapi kita harap kita dapat mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan kekalkan supaya kita dapat melindungi Bahagian Bintulu.
“Kita juga berharap dapat mengekalkan kes COVID-19 yang lebih rendah lagi sehingga sifar kes COVID-19 ini,” katanya semasa ditemui selepas meninjau pemberian vaksin COVID-19 di PPV Dinner World Bintulu pada Khamis.
Setakat ini, Bahagian Kuching, Sibu dan Miri dikenal pasti telah merebaknya virus COVID-19 varian Delta dalam kalangan masyarakat.
Dr. Melvin juga menggesa semua masyarakat terus patuhi SOP dan jaga keselamatan diri masing-masing.
Dalam pada itu, sukarelawan di PPV Dinner World Bintulu telah membuat kejutan kepada petugas barisan hadapan dan penerima vaksin apabila membuat satu majlis ringkas sambutan Hari Sarawak dengan menyanyikan lagu Ibu Pertiwiku dan Sarawakku Sayang serta semua petugas menggunakan pakaian tradisional masyarakat Sarawak.
Mengambil kesempatan ini, petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di PPV Dinner World Bintulu melahirkan rasa bangga sebagai anak Sarawak dan mengucapkan Selamat Menyambut Hari Sarawak, Sarawak Gemilang Untuk Semua.
“Saya Dr Melvin dari Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu merupakan anak Sarawak yang berasal di Kuching.
“Harap-harap kita dapat kekalkan SOP dan sama-sama memerangi COVID-19 ini,” katanya.
Sementara itu, Dr Linda Jok dari Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu terus mengingatkan rakyat Sarawak untuk patuhi SOP di mana sahaja berada.
“Saya Dr Linda Jok bertugas di Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu ingin mengucapkan Selamat Hari Sarawak kepada seluruh rakyat Sarawak.
“Diingatkan agar sentiasa mematuhi SOP walaupun di mana anda berada. Jaga kesihatan, dapatkan vaksin sekiranya anda belum divaksin,” katanya. -EDISI UKAS