Datuk Francis Harden Nafi Berita Dedah Sindiket Edar Dadah Percuma Untuk Pelajar

JUMAAT, 23 JULAI 2021

KUCHING: Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis menafikan berita dikeluarkan oleh sebuah media yang bertajuk ‘Menteri Muda Sarawak Dedah Sindiket Edar Dadah Percuma Untuk Pelajar’ pada 21 Julai lepas.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi One Stop Committee (OSC) bagi Menangani Isu Dadah dan Substance (MIDS) Peringkat Negeri Sarawak itu memberitahu, maklumat yang dikongsikan pada sidang media laporan bulanan OSC bagi MIDS telah disalah tafsir oleh media berkenaan.

“Saya ingin menjelaskan bahawa tidak ada sindiket membekalkan dadah secara percuma kepada pelajar sekolah di Sarawak.

“Saya ingin mengingatkan perkara ini tidak berlaku di Sarawak dan perkara yang dinyatakan selepas sidang media berkenaan adalah berlaku di negeri lain seperti kenyataan media yang bertajuk ’40 Individu Dikesan Edar Dadah kepada Pelajar’ bertarikh 19 November 2020,” jelasnya.

Tambah Datuk Francis, satu Prosedur Operasi Standard (SOP) atau prosedur tetap operasi melibatkan murid sekolah di dalam aktiviti penyalahgunaan dadah berkaitan pengedaran dadah kepada murid sekolah telah dikuatkuasa bermula 18 Januari 2019.

“Dengan penguatkuasaan SOP ini, siasatan lebih terperinci boleh dijalankan di dalam kawasan sekolah dan beberapa prosedur khas yang melibatkan pengendalian pengedar dadah telah ditambah baik bagi mengenal pasti individu yang mengedar dadah kepada murid sekolah,” ujarnya. –EDISI UKAS

Share
0

add comment