Lima Kategori Penerima Di DUN Engkilili Terima Sumbangan Program Ziarah UKAS

JUMAAT, 23 JULAI 2021

ENGKILILI : Seramai 50 orang lagi penerima yang tersenarai akan menerima bantuan makanan dan barangan kesihatan bersempena Program Ziarah UKAS.

Pada kali ini, ia melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili yang terdiri daripada lima kategori iaitu golongan asnaf, sakit kronik, Orang Kelainan Upaya (OKU), warga Emas dan ibu tunggal.

Sumbangan telah disempurnakan oleh Penghulu Ahmad Suhaili Ahmad melalui penghantaran dari rumah ke rumah, dengan dibantu oleh beberapa wakil daripada Pejabat Daerah Kecil Engkilili untuk mempercepatkan proses pengagihan.

Penghargaan terima kasih yang tidak terhingga dizahirkan oleh setiap penerima atas keprihatinan kerajaan negeri, UKAS dan pihak yang terlibat dalam membantu mengurangkan bebanan dan tekanan yang dihadapi penduduk sepanjang pandemik COVID-19. -EDISI UKAS

Share
0

add comment